Attack Digital Studio

Selasa, 9 April 2013

Persediaan Mental: "Saya masih ingat pengalaman recording pertama saya dimana saya maki semua *orang disebalik cermin...."

Apakah pengalaman pertama recording kamu yang masih kamu ingat? Saya masih ingat pengalaman recording pertama saya dimana saya maki semua *orang disebalik cermin (control room).. (kahkahkah..)
KERANA saya rasa sangat tertekan ketika itu. Adakah kamu juga rasa begitu?

Untuk memastikan recording kamu berjaya, bukan bermakna kamu harus practice berjam-jam dalam sehari untuk memastikan yang nyanyian/playing kamu bagus. Kamu bagus macamana pun tapi jika mental dan emosi kamu tidak dalam keadaan yang baik, tak guna juga. Nampak macam mengarut, kan? Jangan sesekali kamu ambil mudah. Kadang-kadang, recording kamu tidak berjalan dengan lancar bukan kerana nyanyian/playing kamu tidak bagus, tapi kerana mental dan emosi kamu tidak berada dalam keadaan yang baik. Jangan risau, sebenarnya ianya normal. Saya akui, bukan mudah untuk singkirkan terus perasaan seperti gementar, takut, tertekan dan cuak semasa recording. Tapi kamu harus cari jalan bagaimana untuk mengurangkan rasa gementar, takut, tertekan dan cuak semasa recording kamu, agar recording kamu berjalan dengan lancar..

Bagaimana ye..? Hmm.. Apa yang penting, kamu harus RILEKS..

Sehari sebelum hari recording, tak perlulah kamu berkurung dalam rumah atau studio untuk practice. Kamu harus KELUAR DARI TEMPAT PERSEMBUNYIAN KAMU TU. Pergilah beriadah dengan keluarga atau dengan rakan-rakan kamu.  Lakukan aktiviti yang mampu menenangkan kamu seperti berbasikal, memancing, berkelah, shopping, tengok wayang (di panggung wayang), atau menanam bunga di halaman rumah. Atau kamu boleh memilih untuk pergi ke spa...

Selain itu, kamu digalakkan untuk lakukan aktiviti yang tidak pernah kamu buat sebelum ini seperti menganyam tikar mengkuang, bermain wau atau membakar ikan di halaman rumah. Melakukan aktiviti yang tidak pernah kamu lakukan sebelum ini, dapat memberi kamu lebih kepuasan. Selepas kamu melaluinya, atau selepas kamu berjaya melakukannya pasti kamu akan berkata, "Wow.. kenapa aku tak pernah buat sebelum ni?"
Percayalah, tahap keyakinan kamu pasti akan bertambah.

Jika kamu masih lagi tidak dapat melenyapkan bayangan ketakutan recording hari esok, carilah teman untuk berbual. Kongsi perasaan takut kamu dengan rakan kamu tu. Lagi bagus jika rakan kamu tu ialah ahli band kamu sendiri.. Mungkin mereka juga sama seperti kamu, sedang membayangkan ketakutan recording hari esok. Kamu pasti akan lega dan pasti kamu akan dapat membina keyakinan dan keberanian selepas kamu meluahkan rasa takut kamu itu kepada rakan kamu. Lagi satu, bila kamu tahu yang ada orang lain tahu yang kamu takut, gementar atau tertekan untuk recording esok, secara automatik semasa sesi recording nanti, perasaan takut, gementar dan tertekan kamu akan hilang..

Lagi satu, berbual saja tak guna, ajak rakan kamu/ahli band kamu makan. Makan di restoran kegemaran kamu.. Makan sepuas-puasnya. Lupakan seketika yang kamu ada sesi recording esok hari.. Makan terbukti dapat mengurangkan tekanan yang sedang kamu alami. Kamu bukan saja akan rasa kenyang, malah kamu juga akan rasa puas.. Seperti sedang meraikan sesuatu. 

Bila saya kata kamu perlu rileks, maknanya kamu perlu benar-benar rileks.. Maknanya kamu perlu TIDUR.. Pastikan kamu tidur pada malam sebelum recording. Lupakan aktiviti malam kamu. Lagi bagus jika kamu tidur awal malam itu. Emosi dan mental kamu akan berada dalam keadaan yang baik jika kamu mendapatkan tidur yang cukup. Jika kamu tidak mendapat tidur yang cukup/rehat yang secukupnya, pasti semasa sesi recording kamu pada esok hari, kamu akan jadi mudah marah, mudah tertekan, dan emosi kamu mudah terganggu.. Jika kamu cukup rehat/cukup tidur, pasti kamu dapat mengawal/mengatasi perasaan-perasaan atau gangguan-gangguan negatif terhadap emosi dan mental kamu dengan baik..

.......bersambung

199X recording session di Attack Digital Studio

Jumaat, 5 April 2013

Persediaan Recording

Dalam entry blog yang bertajuk Satu Langkah Penting Dalam Proses Recording, kamu sudah faham apakah itu pre production, dan pentingnya pre production ini sebelum memulakan proses recording. Jadi, kamu sudah bersedia? Apa tunggu lagi, JOM RECORDING...!!

Eh, kejap.... Sebelum kamu melangkah masuk studio recording, kamu perlu buat beberapa persediaan.. Macam nak berperang jugalah, takkan main redah je... Persediaan ini perlu supaya sesi recording kamu berjalan dengan lancar dan sempurna...

Malam sebelum recording (sepanjang sesi recording kamu), pastikan kamu cukup rehat/tidur.. Lupakan aktiviti malam kamu. Semasa recording, fizikal dan emosi kamu perlu berada dalam keadaan yang segar dan tenang. Janganlah datang ke studio dengan muka yang mengantuk, gigi tak bergosok, mandi pun tak mau.. Tapi, kalau kamu kata kamu lebih mudah feel/menghayati permainan/nyanyian kamu jika kamu tak mandi, tiada apa yang saya boleh kata.

Pastikan juga instrument kamu dalam keadaan yang baik. Lap sikit gitar kamu tu. Buang semua habuk yang ada. Jika ada kerosakan, repair dulu! Pastikan yang instrument kamu dalam keadaan yang benar-benar baik. Tuning dan intonation harus betul/tak lari. Jangan ambil risiko dengan menggunakan instrument yang rosak/dalam keadaan yang tidak baik untuk recording. Mixing tidak dapat membantu kamu...

Pada yang bermain gitar & bass, pastikan kamu tukar semua tali gitar/bass kamu. Jangan kedekut dan malas nak tukar. Walaupun kamu suka sound gitar/bass kamu dengan tali yang berkarat tu, kamu perlu tukar. Percayalah, kamu pasti akan berpuas hati dengan sound gitar kamu nanti selepas recording...  Jangan lupa juga, bawa spare tali gitar/bass kamu. Nanti tak pasal-pasal tengah-tengah recording kamu kena keluar cari kedai muzik untuk beli tali gitar/bass.

Pada yang main drum pula, bawa stick sendiri. Jangan fikir kamu boleh pinjam drumstick kat studio recording tu sebab studio recording tidak menyediakan drumstick. Kamu harus bawa sendiri. Pastikan drumstick kamu dalam keadaan yang elok. Lagi bagus jika kamu beli baru drumstick untuk recording nanti. Seperti juga guitarist & bassist, bawa drumstik spare..

Pada vocalist pula, jagalah tekak kamu tu. Minum air suam/panas. Jangan minum ais.. Print siap-siap lirik kamu. Pastikan kamu buat 2 salinan untuk setiap lirik kamu. 1 salinan adalah untuk kamu, manakala 1 salinan lagi adalah untuk recording engineer.

Akhir sekali, sebelum kamu melangkah masuk studio recording, pastikan kamu sudah tahu, apa instrument yang kamu perlu record dulu. Terpulang kepada kamu, yang mana kamu selesa. Nak record drum dulu ke, gitar dulu ke, vocal dulu ke. Terpulang pada kamu.

Jika kamu tanya saya instrument apa yang patut kamu record dulu, saya akan sarankan agar kamu record/buat guide track terlebih dahulu sebelum kamu mula sesi recording.

Guide track?? Guide track tu apa?

bersambung................

Guide track?? Guide track tu apa?

Attack Digital Studio

Khamis, 4 April 2013

SOALAN: "Kenapa kena ada producer? Apa tugas tugas sebenar producer ni? Sebab semua lagu lagu band kami yang cipta sendiri.. Penting sangat ke?"

Untuk entry blog saya (yang lepas) yang bertajuk Orang Disebalik Cermin Recording pt 2, saya telah mendapat soalan dari seorang pembaca. Soalannya berbunyi begini:

"Kenapa kena ada producer? Apa tugas tugas sebenar producer ni? Sebab semua lagu lagu band kami yang cipta sendiri.. Penting sangat ke?"  - TANPA NAMA/ANONYMOUS

Soalan ini agak bagus, dan ianya memberi idea kepada saya untuk menyambung penulisan tentang *orang disebalik cermin - producer. Jadi, saya mengambil keputusan untuk menjadikan soalan ini sebagai tajuk entry kali ini.

Antara tugas-tugas producer, sudah saya nyatakan dalam Orang Disebalik Cermin Recording pt 2. Penting atau tidak producer untuk album, adalah bergantung kepada kamu. Jika kamu yakin yang kamu tidak memerlukan producer untuk album kamu, tidak mengapa.. Teruskan saja.. Tapi, jika kamu ingin album kamu bagus, CARILAH SESEORANG YANG BAGUS UNTUK PRODUCE ALBUM KAMU.

Band masakini semua hebat-hebat. Kini mereka lebih berani, kreatif dan mampu membuat/menulis lagu sendiri. Tapi, percaya atau tidak kamu tidak mampu untuk menilai lagu ciptaan kamu sendiri. Kamu tidak mampu menilai, adakah ianya bagus/sedap/menarik atau tidak.. Malah, lagu ciptaan kamu yang tak sedap pun, kamu akan kata yang lagu itu sangat sedap. Betul tak? Betul.... Hakikatnya betul.. Tiada siapa yang akan kata lagu ciptaan mereka sendiri tak sedap/tak bagus.. Semuanya bagus belaka.. Tapi itu, kamu yang kata.. Bagaimana dengan orang lain? Adakah mereka setuju dengan pendapat kamu?

"Band aku kata ok je lagu-lagu yang aku buat..!! sedap je!!"

Mestilah ahli band kamu kata ok, sebab dia cuma nak ambil hati kamu saja.. Atau, ahli band kamu yang lain tidak pandai buat/tulis lagu, dan mereka hanya mengharapkan kamu untuk membuat/menulis lagu. (Tapi, kalau ianya benar bagus/sedap, baguslah. Syabas saya ucapkan..!!)

Untuk pengetahuan kamu, selalunya penulis lagu jarang arrange lagu ciptaan mereka sendiri. Untuk arrangement lagu ciptaan mereka, mereka akan menggunakan khidmat arranger.. Arranger inilah yang menentukan rentak lagu tu, tempo lagu tu, penggunaan chord, susunan part dalam lagu (seperti verse, corus,verse, corus), perlu ke ada music bridge dalam lagu tu, intro nak panjang mana, instrument apa nak pakai, dan lain-lain. Arranger yang bagus mampu menjadikan lagu yang kurang sedap menjadi sangat sedap & bagus.

Tapi, selalunya band-band yang membuat/menulis lagu sendiri tidak menggunakan khidmat arranger. Samalah seperti kamu. Kamu lebih selesa dan yakin dengan hasil sendiri (kamu buat/arrange sendiri). Bagus, kerana kamu berfikir begitu. Saya tak nafikan ada diantara kamu yang mampu buat arrangement yang bagus. Tapi ada diantara kamu yang main hentam je.. Kamu malas/takut untuk mencuba buat kelainan dalam lagu kamu. Sebab itulah lagu kamu kedengaran biasa dan membosankan.

Lirik pun main hentam je. Tunggang-langgang. Patutlah lagu kamu susah untuk dimainkan diradio (khas untuk pop music kerana pop music lebih berpeluang untuk keluar radio). Sebab itulah kamu dianaktirikan oleh DJ - DJ radio. Sebab itulah juga, album kamu tidak/sukar diterima oleh label-label besar yang kamu hantar. Kamu pasti kecewa, bukan? Malah ada yang sampai berputus asa..

Jangan mengalah.. Perbaikilah segala kekurangan penghalang kamu untuk berjaya. Kamu perlukan seseorang yang akan bantu kamu memperbetulkan setiap kesalahan, menilai lagu kamu (adakah ianya bagus & akan menepati citarasa pendengar), memberi tunjuk ajar, memberi idea, dan seterusnya menjadikan album kamu bagus.. Orang itu adalah PRODUCER. Kamu lihat sendiri band-band luar, album mereka bagus dan berjaya. Kerana apa? Bagaimana mereka boleh berjaya? Kerana mereka mempunyai producer yang bagus untuk album mereka.. Mereka sanggup cari producer yang bagus agar album mereka bagus malah SEMAKIN BAGUS! Bagaimana pula dengan album kamu. Sudah cukup bagus ke??

Orang Disebalik Cermin Recording pt. 3 

Penjaga Bugera di Attack Digital Studio

Rabu, 3 April 2013

Orang Disebalik Cermin Recording pt 3

............. sambungan  Orang Disebalik Cermin Recording pt 2

Dalam tajuk-tajuk yang lepas, kamu sudah tahu antara *orang disebalik cermin adalah recording engineer dan producer. Siapa lagi selain mereka? Mereka, yang ingin saya ceritakan kali ini adalah orang yang terpenting yang HARUS ada disebalik cermin semasa kamu recording..

Orang itu adalah, ORANG-ORANG YANG TERDEKAT DENGAN KAMU, iaitu :


  • AHLI BAND KAMU SENDIRI
                            (atau)
  • RAKAN - RAKAN KAMU
                            (atau)
  •  AHLI KELUARGA KAMU

Bila kamu sedang recording (tracking guitar, bass, drum atau vocal) pasti bermacam-macam perasaan akan kamu alami. Kamu akan rasa teruja, puas dan gembira. Selain itu, kamu turut akan rasa takut, cuak, gementar, blur, resah, emo, marah dan kurang stabil. Nampak tak, betapa banyaknya perasaan negatif berbanding perasaan yang positif. Ini sesuatu yang biasa berlaku. Apatah lagi jika kamu baru pertama kali menjalani proses recording. Malah, yang lebih teruk pun ada. Bergantung kepada ketahanan diri seseorang itu. Kamu bayangkanlah jika kamu sedang recording, dan sesi recording kamu dikendalikan oleh orang asing (bermakna kamu kurang mengenali recording engineer berkenaan). Bagaimana ye keadaan kamu ketika itu? Lebih-lebih lagi, recording engineer berkenaan kurang bercakap/tidak peramah dan kurang mesra.... Hmm.. Mesti kamu nak cepat balik, kan?

Sebab itulah orang-orang yang terdekat dengan kamu perlu berada disekeliling, apabila kamu sedang recording. Begitu juga sebaliknya, apabila ahli band kamu yang lain sedang recording, kamu perlu ada. Berilah sokongan pada mereka. Ini tidak, bila drummer kamu tracking drum berjam - jam, kamu hilang. Bosan lama menunggu turn kamu. Janganlah begitu.. Kamu dan ahli band kamu saling memerlukan antara satu sama lain. Bukan hanya semasa persembahan live saja, tapi semasa sesi recording pun kamu dan ahli band kamu saling memerlukan antara satu sama lain.. 

 Seseorang pernah bertanya kepada saya, bagaimana untuk mengatasi rasa takut semasa recording? Saya jawab senang saja, bawalah TEMAN.. Tapi, jangan pula kamu bawa girlfriend/boyfriend kamu. Kalau dia dapat/boleh bantu kamu dalam sesi recording, takpalah. Tapi, kalau dia hanya akan membebankan/menyusahkan kamu sepanjang sesi recording nanti, baik kamu jangan bawa.

Selain itu, orang-orang yang terdekat dengan kamu ni juga, merupakan peminat kamu (pendengar setia). Dia tahu kelebihan kamu. Jadi, semasa sesi recording, orang-orang yang terdekat dengan kamu ini akan perasan jika permainan/nyanyian kamu hambar, tidak bertenaga dan kurang menarik. Tidak sama seperti persembahan live kamu yang hebat, bertenaga, dan membuatkan semua penonton yang hadir terpukau. Seperti yang telah saya nyatakan di atas, mereka ini adalah PENDENGAR & PEMINAT SETIA kamu. Mereka inilah yang akan membantu kamu memperbetulkan segala kekurangan kamu semasa sesi recording. Secara tidak langsung, mereka mampu guide kamu,  terutama sekali dari segi feel/penghayatan/penjiwaan. Mungkin ada diantara mereka yang tidak mahir mengendalikan alat muzik, tetapi, mereka adalah PENDENGAR yang baik. Mereka mahu dengar sesuatu yang bagus, sedap dan terbaik dari kamu.

Nampakkan? Siapa kata orang-orang yang terdekat dengan kamu (ahli band kamu, rakan-rakan kamu atau ahli keluarga kamu) tak boleh/tidak dapat bantu kamu semasa sesi recording? Banyak sebenarnya yang mereka dapat bantu. Selain dari menjadi pendengar yang baik, mereka dapat membantu melegakan emosi kamu, menenteramkan kamu, menyenangkan kamu, belikan kamu air & makanan (betul ni..), buat lawak kasi kamu ketawa dan mewujudkan suasana yang santai agar kamu selesa semasa sesi recording kamu berjalan. Pasti, kamu akan berterima kasih kepada mereka ini, kerana tanpa mereka kamu pasti tidak mampu untuk buat yang terbaik semasa sesi recording.. 

Kesimpulannya, kejayaan album kamu bergantung kepada orang-orang yang berada dibelakang kamu..

Kamu masih faham dengan konsep telinga, bukan? Konsep telinga di sini membawa maksud pendengar.. Jika producer merupakan TELINGA PERTAMA dan recording engineer pula merupakan TELINGA TERAKHIR semasa sesi recording, TELINGA SELEPAS PRODUCER dan TELINGA SEBELUM RECORDING ENGINEER adalah orang-orang yang terdekat dengan kamu..


Alphabetical Theory recording session di Attack Digital Studio

Selasa, 2 April 2013

Orang Disebalik Cermin Recording pt 2

................. sambungan   Orang Disebalik Cermin Recording

Dalam tajuk yang lepas, Orang Disebalik Cermin Recording, kamu sudah tahu bahawa recording engineer merupakan salah seorang *orang disebalik cermin. Siapa lagi yang berada (harus berada) disebalik cermin itu?

Kamu perasan tak di setiap kulit album/cover album ada tertulis produced by..... Atau producer. Untuk memastikan album (EP/DEMO termasuk juga) kamu bagus, kamu perlu ada producer. Carilah seseorang yang layak untuk menjadi producer untuk album kamu. Maksud layak di sini, bukannya dia harus ada nama, terkenal atau kaya. Tak perlu pun semua tu. (Mungkin dia berada dikalangan rakan-rakan kamu). Producer perlu berfikiran kreatif, innovatif, berani, dan unik. Kalau dalam bisnes, dia adalah seperti seorang usahawan. Dialah mastermind untuk album kamu. Producer yang bagus dapat membentuk seseorang (artiste/band) itu sehingga berjaya. Dia tahu bagaimana untuk mencungkil bakat/kebolehan kamu ke tahap yang tertinggi. Dia juga tahu apa kehendak pendengar/kehendak muzik semasa. Dia tahu serba-sedikit selok-belok perniagaan (dia tahu bagaimana untuk menjual bakat kamu). Dia tahu tentang music. Dia tahu tentang sound. Malahan, dia sebenarnya adalah orang yang lebih tahu dari kamu. (sila baca & fahamkan betul - betul ye, TAHU) Mungkin dia tidak sehebat kamu bermain alat muzik, atau, mungkin juga dia tak pandai langsung untuk bermain alat muzik. Tapi dia TAHU tentang alat muzik itu..

!!! ORANG BEGINILAH YANG HARUS KAMU CARI UNTUK PRODUCE ALBUM KAMU !!!

Contoh dalam 1 band ada 5 orang. Bermakna ada 5 kepala. Saya tak nafikan, musician egonya sangat tinggi. Sebab itulah banyak band yang berpecah akibat sifat ego ini. Selain ego, musician juga terkenal dengan sifat malas (liat), dan ada diantaranya yang tamak. Tak perlulah kamu menafikan yang kamu tidak tergolong dalam kelompok manusia seperti di atas ni. Itu pun sudah cukup untuk menunjukkan yang kamu ni ego (huahua...). Tak salah sifat ego. Cuma, jangan berlebihan.

 Sebab itulah, perlu ada seseorang untuk guide, dan membentuk band kamu. Itulah gunanya ada producer. Macam saya katakan tadi, dialah mastermind untuk album kamu. Kalau dia dengar lagu kamu (lagu yang kamu nak record tu) tu kurang sedap/kurang bagus/kurang menarik, dialah orang yang akan suruh kamu ubah/arrange semula lagu kamu sampai dia puas hati (percaya atau tidak, walaupun kamu kurang bersetuju dengan pendapat producer kamu, tapi akhirnya pendapat dialah yang paling berkesan). Kalau kamu malas semasa sesi recording, dialah orang yang akan paksa kamu. Kalau kamu kurang stamina semasa sesi recording, dialah orang yang akan marah kamu, dan suruh kamu lari satu taman. Kalau kamu se-band tiada kata sepakat (dalam hal pembikinan lagu/recording), dialah yang akan menentukan keputusan untuk kamu se-band. Kadang-kadang, memang ada band yang bertengkar dengan producer mereka (mungkin sebab tidak bersetuju atas hal-hal berkaitan album/recording). Bertengkar itu biasa bagi producer, sebab dia bukan tak tahu bagaimana sifat kamu, musician.. :)

Kenapa saya cerita tentang producer? Kerana, dia adalah salah seorang *orang disebalik cermin. Sebab tu dalam tajuk yang lepas, saya ada kata jangan terlalu bergantung harap pada recording engineer. Tugas recording engineer cuma 'record'. Dia bukan tahu apa intipati band kamu. (Malah, mungkin dia tak peduli pun lagu kamu bagus ke tidak). Orang yang tahu intipati band kamu adalah producer kamu. Dialah yang akan memastikan lagu & album kamu bagus/berkualiti. Orang pertama (TELINGA PERTAMA) yang harus dengar semasa sesi recording adalah producer. Manakala, recording engineer pula adalah telinga yang TERAKHIR.. Semasa sesi recording, Producerlah yang menentukan adakah take/tracking itu diterima/ok. Kalau dia tak suka dengar apa yang kamu main/rekod, bermakna kamu harus rekod/take/tracking semula, sampailah dia puas hati. Kamu kena ingat, producer adalah mastermind untuk album kamu. Dia tahu apa yang terbaik untuk album kamu..

Telinga? Apa telinga-telinga ni?

Recording ni melibatkan telinga/pendengaran. *orang disebalik cermin ni juga membawa maksud PENDENGAR (telinga) semasa sesi recording berjalan. Sekarang, kamu sudah tahu telinga pertama (producer) dan telinga terakhir (recording engineer). Eh, tapi kenapa recording engineer telinga terakhir? kenapa tak kata telinga kedua, kan 2 orang je *orang disebalik cermin? Haaaa.... Siapa kata ada 2 orang je? Bermakna, ada lagi telinga-telinga yang sepatutnya berada disebalik cermin tu... siapa ye...? Intai kejap....

bersambung....................

Orang Disebalik Cermin Recording pt 3 

SOALAN: "Kenapa kena ada producer? Apa tugas tugas sebenar producer ni? Sebab semua lagu lagu band kami yang cipta sendiri.. Penting sangat ke?"

Attack Digital Studio

Isnin, 1 April 2013

Orang Disebalik Cermin Recording

.......... sambungan  "Vocalist, persiapkan diri sebelum recording, please.." pt. 2

Si A bertanya kepada si B

"Macamana kau tau yang suara kau sedap masa kau recording?!"

Dialog di atas ini terjadi apabila si A tidak dapat menyanyi dengan baik semasa recording, lalu mendapat teguran/kritikan yang pedas dari *orang disebalik cermin. Situasi menunjukkan bahawa si A, tidak dapat menerima teguran/kritikan dari *orang disebalik cermin.. Si A seolah-olah melepaskan rasa ketidakpuasan hatinya terhadap si B (yang juga vocalist), yang sebelum ini pernah recording/menyiapkan demo bandnya, di studio yang sama.

* Orang disebalik cermin - Siapakah mereka? Apakah tugas mereka? Siapakah yang sepatutnya berada disebalik cermin itu?

Zaman kini, recording studio tumbuh bagai cendawan. Banyak pilihan yang ada. Kamu boleh pilih samada kamu ingin record di studio yang canggih/professional, atau, studio separa canggih, atau pun record di rumah (atau istilahnya home studio). Studio yang canggih sudah tentu harganya lebih mahal, dan kualitinya lebih bagus. Untuk menjimatkan kos, kamu memilih untuk record di studio separa canggih, atau di rumah saja/home studio. Tiada kesalahan pun pilihan anda, dan, tak salah pun untuk tidak memilih studio yang canggih/professional. Tapi, akan ada beberapa kesalahan yang bakal kamu buat..

Saya tidak pasti seserius manakah kamu bila tiba bab recording. Seserius manakah kamu ingin final product kamu itu bagus, sedap dan berkualiti. Ya, saya tak nafikan yang kamu sangat serius inginkan final product kamu bagus, tapi macamana ianya boleh bagus kalau kamu tidak serius semasa sesi recording? Ia umpama 'kalau sampah yang masuk, sampah juga yang akan keluar'. Jadi, mengapa meletakkan harapan 100% kepada proses mixing? Sedangkan kamu mampu untuk buat yang terbaik semasa recording. Kamu harus tahu, proses mixing yang bagus, adalah dari proses recording yang bagus. Jadi, kamu harus pastikan yang KAMU BUAT YANG TERBAIK SEMASA RECORDING. Kamu ada telinga. Jadi gunakan telinga kamu sebaik-baiknya. Saya tak nafikan kebolehan recording engineer, mereka memang terbaik dalam hal recording. Kalau nak diikutkan, antara semua yang berada disebalik cermin, mereka inilah yang mempunyai telinga yang paling baik. Selepas record/tracking satu part, pasti recording engineer akan playback apa yang telah kamu record/tracking tadi. Jadi, dalam masa kamu turut mendengar (track yang record tu), kamu juga jangan sesekali menafikan recording engineer.

Menafikan recording engineer?

Selepas playback take/tracking tadi, akan ada ketika (sebenarnya selalu..) recording engineer kata, "semula". Maknanya kamu perlu main/record semula apa yang telah kamu record tadi. Mungkin kamu dengar yang kamu record tadi cukup perfect/tiptop, tapi tidak bagi recording engineer. Recording engineer akan dengar dari banyak segi, seperti tempo/rhythm, feel/penghayatan/penjiwaan, dan permainan yang bersih & cantik. Dia bukan paling nak dengar sesuatu yang perfect (perfect itu bagus), tapi paling nak dengar sesuatu yang hidup. Maknanya permainan kamu (guitar, bass, drum atau vocal) kedengaran hidup, dan, tidak kedengaran seperti kayu,keras dan kaku. Mungkin kamu akan rasa tak puas hati, dan fikir yang recording engineer sengaja nak memanjangkan tempoh jam recording. (bermakna kamu perlu bayar lebih untuk lebih jam recording) Atau, mungkin juga kamu akan rasa tercabar & marah apabila kamu perlu record part yang sama berulang-kali. Jadi, kamu harus bersedia...  

Tapi, kamu jangan pula mengharapkan recording engineer saja, keputusan sebenarnya adalah terletak pada kamu. Rata-rata band yang saya lihat, agak kedekut untuk mengeluarkan bajet lebih untuk recording. Mereka juga agak malas untuk buat yang terbaik semasa recording. Apabila final product menghampakan, mereka lebih menyalahkan studio recording. Tak pernah pula mereka meletakkan salah pada diri sendiri. Kamu juga begitu kan? Kamu harus tahu, yang recording engineer sudah buat yang terbaik untuk kamu. Apa harga yang telah kamu bayar, itulah yang kamu dapat. Kalau bajet yang kamu sediakan untuk recording adalah RM500, janganlah bermimpi/harap kamu akan dapat hasil kualiti sebaik recording yang ribuan ringgit harganya, atau jutaan ringgit.

Seperti yang telah kamu baca di atas, recording engineer merupakan salah seorang *orang disebalik cermin. Baca betul-betul, sa-lah se-o-rang.. Maknanya, ada lagi yang sepatutnya berada disebalik cermin. Yang kamu abaikan. Tapi saya rasa sebenarnya kamu tak sedar & tak tahu siapa yang berada, atau ayat yang sebenar, siapa yang patut ada disebalik cermin. Siapa ye...?

bersambung......

Orang Disebalik Cermin Recording pt 2

Horryfied recording session di Attack Digital Studio

Ahad, 31 Mac 2013

"Vocalist, persiapkan diri sebelum recording, please.." pt. 2

......sambungan  "Vocalist, persiapkan diri sebelum recording, please.."

Apakah yang akan kamu faham bila saya kata, "sudah sedia?", sebelum sesi recording bermula? Maksud sedia di sini sebenarnya luas. Bukan sekadar practice yang cukup. Bukan juga sekadar menghafal lirik dan melody. Tapi juga feel, penghayatan/penjiwaan kamu terhadap lagu. Pernah tak bila kamu dengar lagu, kamu rasa berdebar-debar? Meremang? Atau sedih? Gembira? Bersemangat? Megah? Perasaan - perasaan ini timbul adalah kerana penyanyi lagu berkenaan menyanyikan lagu tersebut dengan penuh penghayatan/penjiwaan. Berbeza pula bila kamu dengar lagu yang dinyanyikan oleh vocalist yang kurang atau tiada langsung penghayatan/penjiwaan dalam nyanyiannya, dimana lagu berkenaan pasti/agak kedengaran hambar dan 'tidak berjiwa'. Tak susah untuk menjiwai sesebuah lagu. Apa yang kamu harus buat ialah, kamu harus jujur.. Jadi, cuba, bukan cuba, tapi kamu harus menjiwai lagu-lagu kamu agar nyanyian/lagu kamu lebih hidup..

Ohya, bercakap tentang lirik, memang ada vocalist yang tidak menghafal lirik semasa recording.. Tak salah pun sebenarnya, cuma nanti pasti akan ada banyak kesalahan/kecacatan timbul akibat dari tidak menghafal lirik. Kerana kesalahan lirik saja, boleh mengakibatkan banyak take/tracking untuk vocal. Menghafal itu lebih baik. Menghafal juga tanda kamu practice (yeke?) Ok.. Walaupun kamu hafal setiap bait lirik lagu kamu, saya nasihatkan agar kamu bawa lirik semasa recording. Lagi elok lirik itu kamu taip (guna font besar  & font yang simple supaya nampak jelas & terang). Tulis tangan pun ok, tapi biar jelas. Bawa 2 salinan lirik, 1 salinan untuk kamu, dan 1 salinan lagi untuk recording engineer/producer/seseorang yang dipercayai/yang dipertanggungjawabkan untuk mendengar/guide nyanyian kamu (*orang disebalik cermin). Kamu perlu tahu yang bukan semua orang tahu lagu/lirik kamu. Dengan cara ini, setiap kesalahan lirik/sebutan, dapat dikesan & diperbetulkan dengan lebih mudah dan cepat. Ingat ye, 2 salinan lirik..

Saya tahu, kamu sangat bersungguh untuk recording. Tapi kamu harus faham yang recording bukan dibuat hanya sekali take (sekali record).. Tapi mungkin memakan masa 2 jam. Atau, 5 jam.. Atau, mungkin juga mengambil masa selama 2 hari. Ianya bergantung kepada kemampuan & 'kerja rumah' yang telah anda buat. Jadi, semasa sesi recording, bawalah bekalan minuman ke studio. Waktu recording pun kamu harus jaga tekak.. Bila menyanyi 1 jam tanpa henti, kamu harus berhenti seketika untuk minum air. Kamu harus basahkan tekak kamu, rehatkan tekak kamu untuk beberapa minit. Jangan sakiti tekak kamu, jangan paksa tekak kamu. Selain itu, rasa gementar/gemuruh/cuak/takut juga akan menyebabkan tekak mudah kering..Jadi, jangan lupa untuk bawa air. Air kosong lebih baik, tapi terpulanglah. Masing-masing ada pilihan air sendiri..

Alatan bergerak/mesin contoh seperti kereta, perlu dipanaskan enjinnya terlebih dahulu sebelum guna/bergerak. Kenapa? Supaya perjalanan kereta itu lebih lancar & lebih lama.. Sama juga vocal. Kamu harus panas/warm-up terlebih dahulu.  Dengan ini, vocal kamu akan mampu bertahan lebih lama, dan kamu akan lebih mudah untuk hit note yang paling tinggi/note yang paling rendah dalam lagu kamu dengan lebih mudah & rilex. Tekanan pada tekak juga akan lebih kurang (kurang sakit tekak) kerana vocal warm-up dapat membantu kamu untuk mendapatkan vocal placement dengan betul. Jika tidak mampu untuk upah/hire vocal coach, cari saja video-video tentang teknik warm-up dan pembelajaran vocal di youtube.. Mudahkan.. Tapi, kamu harus berhati-hati kerana mungkin kamu akan ke arah tidak menggunakan teknik vocal yang betul.. Jadi, jika ada sebarang kemusykilan, rujuklah pada yang pakar..

Semasa recording, kamu harus berinteraksi dengan recording engineer/producer/atau siapa-siapalah yang dipertanggungjawabkan untuk mendengar/guide nyanyian kamu tu. Kamu perlu professional. Perlu terima sebarang teguran. Mereka yang berada disebalik cermin itu, merupakan pendengar. Mereka ingin mendengar yang terbaik dari kamu. Jadi, tak perlu melawan andai mereka memaksa/meminta kamu record berulang kali. Ada sebabnya mereka berbuat demikian. Jangan pula rasa mengalah apabila berada dalam situasi begini. Anda harus terus yakin, dan harus terus berani untuk buat yang terbaik. Kamu juga harus terima kesalahan. Suara kamu, kamulah yang lebih mengerti. Apabila kamu dengar ianya tidak bagus, mintalah untuk di-recordkan semula. Jangan letakkan 100% keputusan kepada *orang disebalik cermin. Kamu yang sepatutnya berpuas hati dulu. Jangan takut/malu/malas untuk meminta. Kamu ada hak. Kalau kamu suka dengan apa yang telah kamu dengar/record pun, kamu harus cakap yang kamu suka.. Semua itu pasti akan dipertimbangkan. Saya ingin ingatkan kamu, buat sesuatu biar hingga kamu puas..

* Orang disebalik cermin - Siapakah mereka? Apakah tugas mereka? Siapakah yang sepatutnya berada disebalik cermin itu?

bersambung......

Orang Disebalik Cermin Recording

Aphabetical theory recording session di Attack Digital Studio

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...